Hidup. Satu perkara yang cukup abstrak. Selautan kata boleh didiskripsi tentang hidup tapi tiada satu pun yang dapat puaskan nafsu manusia. Kerana hidup, manusia gembira. Kerana hidup, manusia menangis. Hidup punya manipulasi yang besar pada manusia. Manusia gembira dapat hidup, tetapi tidak sesaat pun mereka sedar yang beruntungnya punya hidup.
Kenapa manusia lupa? Mereka tidak sedarkah beruntungnya mereka punya hidup? Jika kamu soal aku, aku sendiri ragu akan jawapannya kerana aku juga manusia. Manusia yang punya segala kekuatan di dunia tetapi lemah dalam menggunakannya. Gahnya manusia sehingga mampu bertapak kukuh di muka bumi berjuta tahun lamanya. Tetapi kenapa kuatnya manusia, tidak seorang pun mampu memiliki nyawa seribu tahun? Jauh sekali hidup kekal abadi. Adakah kerana manusia tidak kenal beruntung hidup atau mereka tidak sanggup hidup selamanya?
Kamu manusia yang berkuasa, impikan hidup kekal abadi. Masakkah fikirmu itu? Punya kulit tegang selamanya tidak runsingkah kamu? Punya tenaga muda seratus tahun lamanya tidak jelakkah kamu? Manusia semua sepakat setuju, dahulu rasai masinnya garam, dahulu ilmu penuh di dada. Tapi manusia lupa, hidup kekal abadi tidak bermakna manusia itu sudah sempurna. Cacat itu kekal abadi pada insan bernama manusia dan kerana itu hidup kekal abadi adalah mustahil.
Kamu mungkin berfikir aku tak ingin hidup. Jangan melatah. Jangan berdekah. Aku masih punya kewarasan. Nafasku masih berbau. Cuma rasaku hambar menatap esok. Mungkin lenaku dapat menghapus rasaku. Tapi hari kemudian siapa yang tahu. Petangku risau, malamku gelisah, kenapa pula siangku ceria? Menyandang gelaran manusia bukan mudah. Saban hari diketuk jadi manusia. Diketuk yang lain terngadah sendiri namun esoknya lolos kembali.
Sombongnya manusia tak ingin mengalah. Punya paras yang sama kenapa perlu bermusuh? Masing-masing manusia yang lemah, kenapa perlu ada perasaan begitu? Tangan dihiris pisau tetap akan berdarah. Pedihnya juga sama, menggelisat sendirian kamu juga begitu. Kenapa masih terus bercakaran? Sekuntum kemesraan makin layu mekarnya, langit semakin kemarau mengering lautan. Bila agaknya ia sanggup mekar kembali?
"If I leave here tomorrow, would you still remember me?" - Lynyrd Skynyrd, Freebird.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.