Thursday, July 30, 2009

Fenomena Rambut Saya.

Dah tiga bulan rasanya aku tak menjejakkan kaki ke kedai mamak gunting rambut. Rindu pula nak dengar siaran radio tamil kat sana. Kadang-kadang dia orang buka siaran TV tamil pun aku layan tengok juga. Walaupun tiada sarikata, aku rasa aku macam faham sebab aku mesti gelak punya setiap kali pelakon mereka beraksi. Tapi aku gelak sorok-sorok la. Kalau aku gelak kaw kaw karang, sekali rupanya itu babak putus cinta, mau rasanya mamak gunting rambut tu tikam aku dengan gunting dia karang.

Sebab rambut aku dah lanjut usia, maka secara tak rasminya aku akan dilabel mengikut saiz rambut dan bukan lagi mengikut saiz perut. Aku rasa peratusan orang yang kenal aku pun sebab rambut aku saja. Aku rasa label saiz perut yang sasa ni dah jadi sangat klise. Orang pun malas nak mempertikaikan sangat. Aku teringat pula masa aku dan abah aku terserempak dengan member abah aku bersama anaknya. Seorang makwe. Aku dari MMU dia pun dari MMU. Abah aku biasalah, suka sangat menyakat, dia tanya makwe tu, seberapa kenalkah dia dengan aku. Dia bilang dia kenal. Luas kejap lubang hidung aku. Tapi aku bilang aku tak kenal dia. Dan memang aku susah nak ingat muka makwe-makwe random yang bertudung. Abah aku jeling anak matanya dengan aku. Mungkin dia ingat aku sangat popular dengan makwe-makwe. Tapi mengikut teori yang berjaya aku rangkul, mereka kenal mungkin sebab rambut aku yang carca merba. Tiada yang personal.

Aku teringat masa aku kecil dulu. Masa tu zaman suka baca Gila-gila. Aku cukup tak faham dengan fenomena rambut panjang kena potong. Kenapa nak rambut panjang? Kalau dah simpan rambut panjang, kenapa mak bapak mesti kejar satu kampung nak potong rambut anaknya? Sekarang aku dah faham aku pula buat begitu. Tapi sekarang zaman komputer mana ada dah fenomena berkejar satu kampung bawa gunting jahit baju. Ada pula di satu petang itu, aku terasa rajin nak ke kelas. Walaupun rajin ke kelas tapi aku terlupa pula nak sikat rambut. Pensyarah aku yang sangat konservatif orangnya memanggil nama aku untuk menanda kehadiran. Tapi kadar renungannya pada aku lebih 3 saat berbanding orang lain. Aku syak mesti dia terlupa nak bawa gunting jahit baju. Maka aku turut bersimpati dengannya kerana kami sama-sama pelupa. Walaubagaimanapun, setiap kali ke kelas aku mesti sebak rambut aku kebelakang kemas-kemas. Tanda hormat orang tua sebenarnya tapi hari itu aku tak sengaja, terlupa.

Kadang-kadang berambut panjang ini menarik juga sebenarnya. Boleh pula petang tadi ada makwe senyum dekat aku. Aku balas saja senyumnya. Sekali lagi aku syak makwe tu mesti terlupa nak bawa gunting jahit baju juga. Bukan nak guntingkan rambut aku, tapi mungkin dia nak bagi aku sebagai hadiah. Tapi mungkin aku menolak kerana aku tak mahu guntingnya tapi aku mahukan hatinya. Ah, dah macam novel punya ayat cinta pula. Tapi walau apa pun tujuan makwe tersebut, aku rasa bersyukur kerana aku tidak terus melompat atas kereta sambil mengkarokkan lagu Gadis Misteri kepada makwe tersebut. Mungkin dia akan berterabur lari tak cukup tanah meninggalkan aku penuh kaget ditemani bunyi unggas-unggas di celah lalang.

Ada orang kata, rambut panjang ni susah nak jaga. Tapi bagi aku senang nak jaga tapi susah nak sikat. Sebabnya kerana rambut aku mudah bersimpul. Kalau diteliti betul-betul, semua jenis ikatan dalam buku pengakap ada atas kepala aku. Mungkin tersimpul masa aku sedang baring dan mungkin juga tersimpul kerana di tiup angin deras. Kau kenal dengan Wolverine? Ha.. ini dia adik tiri Wolverine. Persamaan kami bukan lah dari segi kuku besi tapi dari segi rambut. Bezanya rambut abang tiri aku akan tercongek kiri dan kanan, tapi tidak aku. Rambut aku hanya tercongek sebelah kanan saja. Dan terjadinya congekkan rambut aku adalah pada setiap kali aku melakukan pemanduan jejaka ranggi tingkap terbuka. Mengikut prinsip Bernoulli, tekanan angin yang tinggi di rambut aku akan menyebabkan kuasa kuda kereta aku meningkat sebanyak 50 kuasa kuda. Banyak juga tu.

Tapi sebab aku berambut panjang yang paling ultima sekali ialah kerana aku sangat berhajat ingin pergi ke Konsert Search di Awan Biru pada 1 Ogos nanti. Karang tak nampak kemas pula aku pergi ke sana berambut pendek mengikut spesifikasi sekolah. Kalau tiada aral melintang, aku akan ke sana. Lirik lagu aku dah polish serba sedikit masa menaip post ini. Seluar koyak lutut aku dah basuh. Baju beli kat sana saja nanti. Oh ya, esok aku kena praktis jerit minta lagu kalau ada lagu smart Amy lupa nak nyanyi. Jaga kau Adib, aku tak ada nak kasi warning punya nanti. Hahaha.

"Kemarau di dalam dada." - Search, Fenomena.

2 comments:

  1. checklist rok kangkang:

    rambut - checked
    lirik - checked
    mentaliti - checked
    seluar jean koyak - checked
    seluar jean koyak yg dibasuh - masih lagi boyband

    haha

    ReplyDelete
  2. Hahaha....
    aku tak pakai pun seluar koyak tu...
    dah rabak sangat.
    takde ah boyband, aku rok runcit-runcit saja.
    ahahaha...

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.