Selalu kalau aku menulis di sini, kadang-kadang ayat yang aku gubah, bagi aku, agak memuaskan hati aku. Setiap perkataan aku susun rapi. Kalau salah aku boleh tekan kekunci 'Backspace' saja. Setiap ayat yang aku tulis, kebanyakan nya aku baca balik. Tujuan aku bukan nak 'impress' sesiapa cuma aku mahu apa yang aku tulis itu terbaik. Aku tak kisah kalau orang tak baca blog aku. Aku tak pernah 'publish' pada sesiapa pun selain kawan rapat.
Selalu bila kawan datang mengadu masalah, aku akan cuba sedaya mungkin buka telinga dan beri pendapat. Tiap kali jalannya, aku mesti karang ayat yang sesuai untuk mereka guna walaupun jauh di lubuk hati aku tahu tak mudah nak mengeluarkan kata-kata begitu. Hidup ini spontan. Tak ada masa nak menggubah ayat setiap kali berbicara. Tulis blog 3 jam tak sama dengan bercakap 5 minit. Aku bukannya tak sedar aku cakap salah, dah memang selalu aku tulis blog. Ayat yang lazim serta kompleksiti psikologinya semua aku dapat sambar. Tapi kalau berbicara selama 5 minit, memang betul tak ada masa nak fikir ayat.
Orang tua-tua pernah cakap, 'Kalau bercakap tu, fikir dahulu'. Aku rasa orang tua-tua tak perasan jurang waktu antara 3 jam dan 5 minit. Ya, aku tahu ada sesetengah orang cuma tulis saja apa yang terlintas di benak fikiran, tapi bukan aku. Lain halnya pula kalau aku berbicara, terkadang itu dah sejam berlalu baru aku terfikir apa yang aku cakap itu salah dan kalau nak diukur dari sudut psikologinya memang gagal. Macam kau langsung tak ada bakat jadi 'psychiatrist'. Bukan, kau langsung tak ada bakat jadi manusia.
Bila dah salah cakap tu, seeloknya minta maaf. Tapi ada dinding besar rupanya antara aku dan minta maaf. Dinding yang diberi nama Ego. kau rasa kau lah betul, pantas kau bidas segala hujah yang logikal di kepala. Kau memang nampak yang benar saja. Gelap mata, gelap hati. Nak merungkai satu perbalahan memang sukar. Sebab makhluk yang kita berbalah bernama manusia. Punya kompleksi yang sama seperti kita. 'Berbicara dengan hantu lebih mudah dari berbicara dengan manusia'. Aku rasa ayat ini cukup tepat, kena pada sasaran.
Aku selalu ingatkan diri untuk sentiasa tegar dalam apa jua yang aku buat. Jangan takut dan percaya pada diri sendiri. Tapi tahukah kamu segagah manusia itu kadang kala menangis juga? Benda yang sangat 'delicate' ini memang sampai tua tak akan habis untuk dirungkai. Aku percaya yang mana bidang psikologi itu bukan satu bidang yang jelas. Atau dengan kata lain, samar-samar. Sebab itu aku pilih kejuruteraan. Logik dan punya jawapan. Tak perlu pelbagai hujah yang membelitkan kata dan menyesakkan fikiran.
Aku mula rasa yang aku ni cukup naif. Segala perkara yang aku sangka betul rupanya salah. Apa yang aku bayang semua tak serupa. Macam kanak-kanak yang seronok baca buku cerita khayalan tapi tak tahu perit getir hidup di dunia. Umur aku dah hampir 23. Orang riak lain mungkin cukup bangga yang diri sendiri sudah dewasa. Punya kerja sendiri, punya kereta sendiri. Macam yang selalu kita dengar, 'ada apa dengan nombor'. Nombor cuba satu khayalan rekaan manusia untuk sedapkan hati sendiri.
Aku dah bingung, macam mana patut aku 'behave' kelak. Macam mana patut aku berinteraksi dengan manusia. Mungkin sekarang baru aku sedar manusia boleh berubah. Tapi aku tak dapat lari dari istilah 'topeng' aku. Aku lebih selesa kalau tak pakai topeng. Rimas. Berubah mana pun manusia itu, aku masih percaya mereka bertopeng. Tapi aku dah mula rasa bertopeng itu satu keputusan bijak. Dalam hidup ini, kita saling bergantungan. Tak ada langsung istilah 'loneranger'. Dan oleh kerana manusia saling memerlukan, kita mungkin patut bertindak untuk tidak sentiasa mengikut kepala sendiri. Orang lain senang, kita pun senang. Kalau kita tak senang, orang lain nak ikutkah? Mungkin kita patut rasa yang dia tak sebijak kita. Bukan kerana dia lebih 'superior' tapi cuma dia tak reti nak hidup bertolak ansur.
"I'll just stay on the sideline."
"I'm playing on the safe side."
Mungkin dua ayat tersebut ada benarnya. Untuk diri kita selamat. Supaya kita sentiasa hidup dalam 'comfort zone' kita. Aku tak berani nak bicara 'adventure'. Adrenalin aku tak cukup kuat pagi ini. Aku tak pilih untuk lasak. Mungkin sebab itu hidup aku tak pernah berganjak. Tak pernah 'happening'. Semua kerana aku mahu hidup aman sampai tua. Entahlah, manusia. Aku tulis sampai esok pun mungkin aku tak akan jumpa jawapan yang sebenar.
"Life is a journey, a journey that you can never stop and once you meet a fork road, you only have a few split seconds to made your decision. It is a real time journey with no reset button." - Kuntil Midon.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.