1991.Satu hari yang tak berapa tenang. Darah di kepala dah membuak-buak sehinggakan urat mula timbul. Rasa nak baling saja controller ni ke peti televisyen. Entah apa-apa punya game. Penat-penat aku susun kasi cantik, dia kasi lesap pula. Sampai bila nak penuh petak ni? Rungut hatiku, cukup resah dengan permainan video yang bernama Tetris.
"Along... cukup-cukup lah main game tu... Pergi mandi. Kita nak pergi jalan."
"Huh? Nak pergi jalan? Uish! Best ni!" Bentak hati aku riang.
Deras tanganku menekan butang 'off' pada alat peranti tersebut. Aku terus lari ke bilik air sambil menanggalkan baju. Sejak kecil lagi aku sudah mempraktikkan gaya mandi dengan penuh kejantanan. Air dua tiga gayung dan sabun ikut dan saja diikuti dengan dua tiga lagi 'gedebush' air. Kemudian aku terus melompat keluar. Baru aku perasan aku lupa bawa tuala. Apa lagi, aku terus pecut ke bilik ambil tuala. Habis basah lantai.
"Along!! apa ni? habis basah rumah. Orang nak pergi jalan dah ni. Dia boleh buat hal lagi."
Aku buat tak tahu saja amaran ibuku sebab aku tengah sibuk mencari kemeja cop Mickey Mouse dan seluar panjang merah aku. Mana lah agak nya. Dalam resah-resah menyelongkar almari, ibu aku pun masuk ke bilik. Aku terus bertanyakan lokasi bajuku kepada ibuku dengan muka tak bersalah.
"Ini dia haa... Cari tu lain kali pakai mata, tarik baju tu elok-elok. Penat Mak melipatnya hari-hari. Bila Along nak cari baju saja mesti bersepah."
Ibuku marah buat kali kedua. Aku tetap tak ambil pusing. Baju aku pakai kemas-kemas masuk dalam. Kali ini, aku berlari ke bilik ibuku pula. Nak sikat rambut. Aku kasi 'aim' baik punya tengah. sebak kiri sekali, sebak kanan sekali. Sekejap saja 'effect' rambut belah tengah ni, masa rambut tengah basah saja jadi. Dah kering karang dia jadi bulat-bulat kerinting balik.
Urghh, mana pula ibuku letak bedak kotak nyonya ni? Aku nak bedak muka ni. Ah, pakai bedak abah saja lah. Aku tadah sebelah tangan sambil goncang botol bedak tersebut. sikit saja yang keluar. Aku goncang kuat lagi kasi padu. Habis penuh bedak atas tangan dan ada sikit-sikit berterabur atas lantai. Tak nak membazir punya pasal, habis semua aku kasi sapu ke muka. Habis putih muka aku macam Raja Kapoor.
"Oi! tu bedak ketiak abah lah, yang kau pergi sapu ke muka tu buat apa?!!"
Sergah bapak aku jangan dibuat main, silap haribulan melayang rotan hikmat atas almari hitam ruang tamu ke punggung. Dengan cemasnya aku terus ke bilik air basuh muka, ibarat Raja Kapoor dah tak tahan nak terkucil. Sudahnya, ibuku jugalah yang menyikat serta membedakkan muka aku.
Maka kami sekeluarga pun keluarlah pergi berjalan-jalan. Nampaknya kali ni kami tidak ke Hankyu Jaya tetapi ke suatu tempat yang penuh dengan buku dan orang. Walaupun berasa hampa, tetapi hati sedikit terhibur kerana melihat banyak buku warna-warni bergambar kartun yang tersusun luas. Sebelum pulang, ibuku membeli sebuah kamus bergambar. Katanya aku kena mula belajar mengeja sebab tahun depan nak masuk tadika.
Ala, setakat huruf-huruf tu, sampai Z pejam mata aku dah hafal lah. Oleh kerana aku teramat konfiden dengan kebolehan aku mengeja, aku pun cuba menunjukkan bakat terpendamku kepada ibu.
"W... A... N... G... Duit!!!"
"Di dalam kenangan nan silam, akan terhiburlah di hatiku, yang selama ini kecundang." - Lefthanded, Mencari Sinar.